Hari ini Nik Omar Nik Abdul Aziz telah melancarkan buku mini biografi ‘Ustaz Nik Omar -The Return of Tok Guru Nik Aziz.
Ketua Wanita AMANAH (Awan) Nasional Dr Siti Mariah Mahmud telah diberikan penghormatan untuk menurunkan tandatangan bagi merasmikan pelancaran buku mini biografi berkaitan Ustaz Nik Omar anak kedua kepada Allahyarham Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Nik Omar dalam ucapannya berkata: “Ambo (saya) bukan tok guru, ambo anak tok guru… beza sebagaimana langit dan bumi, siang dan malam.
“Cuma kita semua ada tanggungjawab. Kita tahu Allah swt mencipta, menghidup, mematikan dan akan menghidupkan kita kembali…segala ucapan,aktiviti,perbuatan harian kita, semua dicatat oleh Allah swt.
“Sebagaimana sumbangan kita semasa hidup ditulis dengan baik oleh Allah swt. Ambo harap buku ini sebahagian kecil nak menceritakan kepada kita tentang… tok guru yang dipanggil tok guru adalah alim rabbani…Allah swt beri anugerah kepadanya ilmu dan kefahaman dan dia beramal dengan ilmu dan fahaman yang ada padanya.
“Dia habiskan masa tenaga bahkan kehidupan untuk dakwah dan Islam. Tiada yang diharap kecuali rahmat dan makfirah daripada Allah swt maka layaklah dia dipanggil tok guru (alim rabbani). Kita berharap kita juga mengikuti perjuangan Rasulullah saw. Mengikuti perjuangan tokoh agung termasuk almarhum ayahanda tok guru…sedikit sebanyak ada kisah kehidupan antara allahyarham tok guru dengan ambo,” ujar Nik Omar ketika diberikan kesempatan untuk menyampaikan ucapan selepas melancarkan buku mini biografi tersebut.
Beliau kemudian telah menyerahkan buku mini biografi itu kepada Dr Siti Mariah sebagai cenderahati.
Buku mini biografi ini setebal 244 mukasurat itu dijual dengan harga RM30 senaskah.
Pelancaran buku itu turut disaksikan Naib Presiden AMANAH Datuk Seri Dr Mujahid Yusuf Rawa, Penasihat Agama AMANAH Datuk Seri Ustaz Ahmad Awang dan Pengerusi AMANAH Negeri Melaka Adly Zahari pada Konvensyen Awan Nasional kali ke-3 yang diadakan di MITC Convention Centre, di Melaka.
Berita penuh https://malaysiadateline.com/ambo-bukan-tok-guru-ambo-anak-tok-guru/