Inilah adalah buku terbaru Ustazah Asma Harun bersama karyawan terkenal di Indonesia iaitu Dwi Suwiknyo. Beliau seorang puitis dan mendalam tulisannya. Buku ini mengandungi monolog-monolog hati, kisah-kisah yang menjadi iktibar, bingkisan firman Allah swt & hadis Rasulullah saw.
Buku ini diibaratkan sebagai pakej kehidupan seorang hamba dalam mencari keredhaan Allah (mardhatillah). Empat buah ini dipakejkan secara eksklusif dan dinamakan sebagai Siri Kembara Menuju Allah.
Ustazah Asma Harun
36 tahun yang lepas ustazah lahir di kampung Batu 6, Kuala Terengganu. Ibu tercinta bernama Fikriah binti Awang, seorang guru fizik. Ayah tersayang Harun bin Ismail seorang peniaga (kedai Nasi Ayam Bt 6) dan juga pendakwah. Salasilah, Tok Guru Haji Abbas adalah moyang, Ustaz Haji Awang Abu Bakar adalah datuk ustazah.
Pengajian ustazah bermula daripada PASTI, Darul Taqwa, SMU (A) Darul Anuar Pulau Melaka, SMU (A) Maahad Muhammadi Lilbanat KB, Kolej Universiti Sultan Zainal Abidin (KUSZA), Universiti Al-Azhar Mesir, dan Open Univercity Malaysia (OUM). Doakan rezeki ustazah ke Ph.D. Insya Allah.
Pengalaman bekerja di JAKIM dan Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan bermula 2008. Sebagai Penolong Pengarah Bahagian Undang-Undang Keluarga Islam dan Penolong Pengarah Bahagian Halal. Ustazah meletakkan jawatan pada tahun 2017.
Ketika umur ustazah 22 tahun, saatnya Allah temukan ustazah dengan seorang lelaki, suami, dan ayah yang sangat baik. Tengku Fazli bin Tengku Yahya, orang Kuala Besut, Terengganu. Selalu beliau dipanggil ustaz sebab isterinya ustazah. Beliau seorang pensyarah dalam bidang chemical engineering. Alhamdulillah, ustazah dan suami dikurniakan Allah 7 orang anak, iaitu Atikah, Luqman, Maisarah, Imran, Sofwan, Raihanah dan Fatimah. Atas-atas kebaikan yang Allah beri kepada Ustazah melalui mereka, Ustazah pun mahu lakukan yang sama.
SubhanAllah, ustazah hanya orang biasa-biasa sahaja, yang diberi sedikit kemampuan dan amanah untuk menyampaikan, mohon doakan terus kuat untuk melangkah, mohon teguran apabila ustazah melakukan kesalahan.
Kembara Menuju Allah
Kerinduan kepada Allah itu adalah fitrah. Namun, kita tidak sedar dan kita selalu menafikannya.
Buku ini akan membantu kita bagaimana menanam rasa rindu kepada Allah. Kerinduan ini akan membuatkan kita bersiap-sedia menghadapi kematian.
Kerana kita semua tahu, kematian adalah pintu untuk bertemu dengan Allah.
Pada hakikatnya, Allah tidak pernah membiarkan kita bersendirian. Tetapi kita yang sering kali meninggalkan Allah.
"Ingatlah Aku, nescaya Aku ingat padamu, dan bersyukurlah kepada-Ku dan janganlah kufur." - Surah Al-Baqarah, ayat 152.
Kita tidak mahu hidup dalam keadaan dibiarkan oleh Allah dan jauh daripada hidayah-Nya.
Inilah fasa seterusnya dalam hidup kita. Kita mahukan satu kehidupan yang cukuplah kita dengan adanya Allah.
Hidup dengan Allah, kita rasa cukup. Apa yang Allah beri, kita rasa cukup.
Apa yang Allah ambil, kita tahu itu yang terbaik untuk kita. Cukuplah Allah bagiku. Tiada apa-apa dalam hatiku melainkan Allah.
Buku ini sebagai bekalan untuk menghadapi saat kepulangan kita kepada Allah. Semoga kepulangan kita dalam keredhaan Allah.
"Wahai jiwa-jiwa yang tenang. Kembalilah kepada tuhanmu dengan redha dan lagi diredhai-Nya. Masuklah ke dalam golongan hamba-Ku yang berbahagia. Dan masuklah ke dalam syurga-Ku." Surah Al-Fajr, ayat 27- 30.
Daripada Allah kita datang, kepada Allah jualah kita kembali.
Aku bersyukur Engkau menciptakan aku untuk lahir ke dunia. Dunia ini indah. Tanpa aku lahir ke dunia, belum tentu aku dapat ke syurga. Kerana begitulah perjalanannya.
Sudah dinyatakan syurga itu untuk manusia yang beriman. Manusia itu wujud setelah lahir ke dunia.
Tiada yang bernama manusia jika ia tidak pernah hadir ke dunia.
Sesungguhnya bukti kasih sayang Allah itu terlalu luas untuk dibilang. Ada berbentuk kurniaannya rezeki sihat, rezeki kaya, malah diberikan ujian juga termasuk dalam bukti kasih sayang Allah.
Dunia ini penuh dengan perangkap. Kita perlu lekas berhati-hati. Banyak perkara yang mengaibkan di dunia, sebenarnya menyelamatkan aibmu dibuka di akhirat kelak.
Jangan sesekali kita berputus asa dengan rahmat Allah.